Tuesday 14 April 2015

Tips Mengesan Dan Mengatasi Penyakit Gout




Pengenalan
Gout adalah sejenis penyakit disebabkan berlebihan asid urik di dalam badan. Asid urik adalah bahan kumuhan berasal dari sejenis protein yang dipanggil purin. Badan kita membuang bahan kumuhan ini melalui air kencing (urin). Bagi penghidap gout, asid urik yang berlebihan tidak dibuang dan berkumpul di dalam sendi. Ia adalah salah satu penyakit yang paling lama dihidapi manusia sejak zaman dahulu kala lagi. Pada masa dahulu gout boleh menyebabkan kemudaratan dan kecacatan, kini dengan kemajuan dalam bidang perubatan, gout boleh dikawal. Ia sering dihidapi oleh kaum lelaki dalam lingkungan usia antara 30 hingga 60 tahun. Ia jarang sekali dihidapi oleh kaum wanita sebelum putus haid.
Punca
Terdapat banyak faktor yang dikaitkan dengan punca berlakunya gout seperti:
o Genetik. Faktor ini memainkan peranan yang cukup besar dalam menentukan risiko seseorang mendapat gout. Dianggarkan antara enam hingga 18 peratus mereka yang menghidap gout mempunyai sejarah keluarga.
o Berat badan berlebihan. Pengambilan makanan secara berlebihan meningkatkan penghasilan asid urik dalam tubuh dan risiko hiperuricemia iaitu asid urik yang tinggi dalam darah.
o Pengambilan minuman keras secara berlebihan boleh mengganggu proses pembuangan asid urik dari tubuh.
o Memakan makanan yang kaya dengan purina boleh menyebabkan gout atau menjadikan gout yang dihidapi semakin teruk.
Segelintir individu mungkin menghadapi masalah kecacatan enzim di mana ia mengganggu proses pemecahan purina dalam tubuh.
o Pendedahan kepada plumbum dalam alam sekitar.
Sesetengah individu mempunyai tahap asid urik yang tinggi dalam cecair tubuh mereka kerana pengambilan sesetengah ubat.
Ubat-ubatan seperti yang disenaraikan boleh menyebabkan hiperuricemia kerana ia menurunkan kemampuan tubuh untuk mengumuhkan asid urik seperti:
o Diuretik untuk hipertensi, edema dan penyakitjan-tung.
o Asid salicylic seperti aspirin dengan dos yang rendah.
o Vitamin niacin yang dikenali sebagai asid nikotinik.
o Cyclosporine iaitu ubat-ubatan yang digunakan untuk mengawal penolakan tubuh terhadap organ yang dipindahkan.
o Pyrozinamide, ubat penyakit tibi.
Gejala
o Sakit pada sendi terutama pada sendi ibujari kaki.
o Panas pada sendi.
o Rasa sakit yang amat sangat.
o Merah pada bahagian yang sakit.
Pencegahan
Berat badan yang berlebihan sering kali dikaitkan dengan gout. Sebaik-baiknya mereka yang menghadapi masalah berat badan berlebihan ini mengawal berat badan mereka.
o Kurangkan pengambilan makanan yang kaya dengan purina seperti hati, makanan laut termasuklah ikan bilis, udang dan sebagainya.
o Elakkan mengambil minuman keras.
Rawatan
Sejak dari zaman empayar Byzantium (Tahun Masihi 457), colchicine merupakan ubat yang diberikan untuk menangani serangan gout secara tiba-tiba.
Meskipun ubat ini berkesan namun ia boleh menyebabkan individu terbabit merasa loya, muntah dan cirit-birit.
Sesetengah individu yang mendapat serangan gout lebih tiga atau empat kali dalam setahun perlu mengambil ubat gout setiap hari.
Ubat yang dikenali sebagai Allopurinol ini perlu dimakan setiap hari bagi mengurangkan asid urik dalam badan.
Bagaimanapun, dengan rawatan yang betul kebanyakan pesakit gout dapat mengawal gejala-gejala yang dihidapi di samping dapat menjalani kehidupan normal.
Malah, gout juga boleh dirawat dengan menggunakan satu atau kombinasi rawatan.
Sasaran untuk rawatan gout ini adalah untuk mengurangkan kesakitan akibat gout secara tiba-tiba, mencegah serangan yang mungkin berlaku dan mengelakkan pembentukan tophi atau batu karang pada buah pinggang.
Rawatan yang biasanya diberi kepada pesakit yang mendapat serangan gout secara tiba-tiba ialah dos ubat NSAIDs atau suntikan ubat kortikosteroid pada sendi terbabit.
Pesakit biasanya akan pulih dalam jangka masa beberapa jam atau bebas daripada sebarang serangan dalam jangka masa beberapa hari selepas rawatan.
Komplikasi
Selain kesakitan yang amat sangat pada sendi, sesetengah pesakit berkemungkinan menghadapi masalah pembentukan batu karang pada buah pinggang.
Bagi masalah gout yang serius yang lebih dikenali sebagai chronin tophaceous, garam asid urik yang membentuk kristal ini boleh membentuk kapur pada sendi.
Serangan gout ini lebih menyakitkan dan mencucuk-cucuk ketika ia menyerang.

No comments:

Post a Comment